Monday, June 14, 2010

Bola vs Judi(2)


1.2 Judi dari Sudut Ajaran Lain


1.2.1 Judi Mengikut Ajaran Buddha


Ajaran lama Budha Hinayana juga, menggariskan lima larangan kepada penganut Budha iaitu; " membunuh, mencuri, menipu, berzina, meminum alkohol dan berjudi". Namun ajaran baru Budha Mahayana telah melonggarkan larangan ini dan ia hanya terpakai kepada yang mahu menjadi sami atau betul-betul menghayati ajaran Budha. Juga tercatit dalam kitab lama Budha kisah masyhur 'Ratapan si Penjudi' (Gambler's Lament) yang menjadi pengajaran berguna apabila seorang penjudi yang kalah wang taruhan menyebabkan dia kehilangan anak dan isteri.
Walaupun ajaran Budha tidak mengharamkan secara jelas aktiviti judi dan membenarkannya sekadar permainan rekreasi dan hiburan seperti permainan 'mahjung' atas dasar untung nasib atau 'ong'. Namun Budha memberi amaran keras bagi yang mempertaruhkan wang dan mengabaikan tanggungjawab keluarga sehingga hilang wang pertaruhan dan sumber mata pencarian.


1.2.2 Judi Mengikut Ajaran Kristian


Bagi ajaran Kristian pula tidak ada kejelasan dalam pengharaman judi tetapi ajaran Kristian memberi amaran bagi yang mencari kekayaan secara cepat dan cintakan wang seperti yang disebut di dalam Timothy 6:10 " Bagi mereka yang mencintakan wang ia adalah punca bagi segala kejahatan. Bagi mereka yang terlalu taksub berlumba mendapatkan wang dan mengabaikan tanggungjawab agama, seolah dia mencucuk dirinya dengan kesedihan di kemudian hari".
Dalam Hebrew 13:5 pula mengatakan " Bebaskan dirimu dari kecintaan dunia (wang) dan berpadalah dengan apa yang kamu ada, kerana Tuhan telah mengatakan, ' Aku tidak akan tinggalkan kamu dan tidak akan membiarkan kamu (sentiasa menolongmu)'. Majoriti gereja bersepakat menyatakan keburukan judi dan sebahagian membenarkan loteri kebajikan yang dianjurkan oleh pihak kerajaan dan juga aktiviti judi 'Bingo' sebagai akiviti rekreasi yang popular di kalangan warga pesara di negara barat.
Namun begitu majoriti gereja menolak penubuhan pusat judi secara besaran seperti kasino atas dasar 'melampau'. Manakala gereja Prebysterian menolak terus segala bentuk judi termasuk loteri kerana atas hujah ia mengambil wang dari golongan miskin dan berpendapatan rendah, yang mengharapkan hadiah lumayan, tetapi hanya 'seorang dalam sejuta sahaja' yang memenangi hadiah wang yang dijanjikan.


1.2.3 Judi Mengikut Ajaran Yahudi


Manakala bagi penganut agama Yahudi, para Rabbi (pemimpin agama Yahudi) menetapkan aktiviti judi dibenarkan semasa perayaan Hannukah sahaja sebagai satu bentuk hiburan di musim perayaan.
Usaha kerajaan UK suatu ketika dahulu untuk menubuhkan kasino secara besaran atas alasan untuk menarik pelancong dan menambah pendapat negara mendapat kecaman dari rakyat.
Sekiranya pungutan suara dilakukan di kalangan awam, juga ketua-ketua semua agama di Malaysia selain Islam, nescaya mereka akan bersetuju tentang kemudaratan judi dan arak kepada masyarakat, melebihi kebaikan.

1.2.4 Judi Mengikut Amerika Syarikat dan Negara-negara Dunia


Di Amerika Syarikat pula, walaupun di peringat Federal (Pusat) membenarkan aktiviti judi, namun setiap negeri mempunyai kuasa untuk mengharamkannya. Nevada membenarkan lesen judi pada tahun 1931 dan menjadi sumber ekonomi utama negeri, diikuti Atlantic City dan New Jersey pada tahun 1976 dan Mississipi pada tahun 1990. Kebanyakan negeri lain di Amerika Syarikat masih tidak membenarkan lesen judi atas sebab kesan moral dan sosial kecuali loteri kebajikan dan permainan Bingo oleh pertubuhan bukan kerajaan untuk tujuan kebajikan.

Judi secara logiknya adalah permainan orang yang mempunyai lebihan wang dan tidak terasa apabila mereka kalah judi. Oleh kerana itulah pusat perjudian yang terkenal di Eropah, Monaco, rata-rata penghuninya adalah hartawan dan selebriti.
Dalam sesetengah negara berlumba membina pusat-pusat perjudian dengan anggapan ia dapat meningkatkan hasil pendapatan negara, lain pula halnya sebuah negeri kepulauan kecil di Pasifik, Vanuatu, yang berpenduduk hampir 300,000 orang dan majoriti beragama Kristian. Kerajaan Vanuatu telah meluluskan akta pengharaman judi di negara mereka sejak tahun 2006 dan ia tidak mendapat sebarang bantahan dari rakyat malah dialu-alukan.

No comments:

Post a Comment